KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) bukan untuk menggalakkan peralihan pemandu ke kenderaan elektrik (EV) atau hibrid, tetapi untuk beralih dari subsidi pukal ke bersasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu adalah untuk bantuan bahan api terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bergantung kepada petrol sebagai sumber pendapatan atau keperluan harian.
Kata beliau, keberkesanan pelaksanaan dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan, melindungi kumpulan sasaran disamping mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna memanfaatkan subsidi BUDI95.
“Dasar peralihan kepada kenderaan EV dan hibrid pula ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan, serta dasar industri automotif negara.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap dasar mencapai objektif masing-masing tanpa bercanggah antara satu sama lain,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr. RA Lingeshwaran sama ada kuota 600 liter yang dinikmati pemandu e-hailing dengan jarak perjalanan lebih 2,000 kilometer itu untuk menggalakkan peralihan ke EV atau hibrid.
Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan subsidi bahan api di bawah Budi95 dengan rebat tunai sebagai galakan peralihan kepada EV atau hibrid.
“Memandangkan langkah tersebut akan mengubah tujuan asal Budi95 dan berpotensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalam,” katanya. – UTUSAN











