BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) akan memperjuangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, BN memberi peluang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu.
“SST ini kita beri peluang setakat ini. Ada baki dua tahun lagi. Tetapi, selepas PRU16, kita menuntut supaya GST iaitu sistem cukai yang terbaik, wajib dikembalikan untuk dilaksanakan di negara ini.
“Dalam hal ini, keadilan wajar diberikan tanpa mengira status ekonomi mereka,” katanya.
ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti yang turut dihadiri oleh Presiden parti itu, Datuk Seri R.S. Thanenthiran di Seberang Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, GST wajar dikembalikan bagi memastikan rakyat menerima serta merasai keadilan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat.
“Ini tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana lebih 155 negara di dunia telah menggunakan GST. Malaysia kini antara lapan negara yang masih mengekalkan SST,” kata beliau.
Beliau juga mengakui perubahan sistem cukai sebelum ini, termasuk pengenalan GST dan kemudian kembali kepada SST adalah hasil keputusan kerajaan terdahulu.
“Walaupun BN menghormati keputusan tersebut, pendirian parti ini (BN) jelas bahawa pelaksanaan GST adalah wajar dan mesti dijalankan untuk kebaikan rakyat,” katanya. – UTUSAN










