SUNGAI PETANI: Seramai 20 ahli sindiket jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang aktif dalam kes pembunuhan, kekerasan dan pengedaran dadah di Kedah dan Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tiada pengakuan direkodkan setelah pertuduhan ke atas semua tertuduh berusia antara 24 hingga 42 tahun dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di alamat Kampung Sungai Division dalam Daerah Kuala Muda, Kedah antara bulan Januari 2024 hingga 4 Disember lalu.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer, S. Meharaj, P. Vaasudevan dan Muhammad Adam Burhanudeen.
Rayer meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes dipercepat dan meminta kebenaran agar ahli keluarga dapat berjumpa tertuduh selepas ada antara mereka ditahan sejak lebih sebulan lalu.
Hakim Najwa membenarkan ahli keluarga yang hadir menemui tertuduh dengan pemantauan ketat pihak polis, sementara 29 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak membenarkan sebarang ikat jamin ke atas semua tertuduh.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Kedah dan Pulau Pinang.
Kumpulan itu dipercayai dianggotai 35 orang yang dipimpin lelaki tempatan dikenali sebagai Rames dan aktif di Sungai Petani, Kulim serta beberapa lokasi di Pulau Pinang.
Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan, mendatangkan kecederaan parah, bunuh dan pengedaran dadah selain meminta wang perlindungan. – UTUSAN








