Undilah PH demi masa depan Sabah

Undilah PH demi masa depan Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menjelang hari pengundian esok, para pengundi di Sabah diseru memilih Pakatan Harapan (PH) demi memastikan masa depan negeri terus terjamin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, hubungan kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor kini berada pada tahap paling baik sekali gus membuka ruang lebih besar memastikan kebajikan rakyat Sabah diberi perhatian sewajarnya.

Ramanan menyatakan keyakinan bahawa pengundi Sabah akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan realiti, bukan emosi semata-mata.

“Esok hari penentuan. Saya yakin rakyat Sabah akan memilih yang terbaik demi masa depan yang lebih terjamin serta gemilang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir di Bilik Gerakan Utama DUN Moyog.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah berada di Sabah sejak hari penamaan calon bagi memastikan seluruh jentera PH, khususnya di DUN Moyog bersama calon Remysta Jimmy Taylor, bergerak secara tersusun, terurus dan efektif.

Menurutnya, walaupun PRN kali ini disifatkan sengit dan mencabar, rekod keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah tidak boleh dinafikan.

“Kerajaan Madani menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjaga kepentingan Sabah secara menyeluruh. Malah, Datuk Seri Anwar adalah satu-satunya Perdana Menteri paling kerap turun ke Sabah bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah turut menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah melalui Belanjawan Madani, bukti jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan negeri itu.

Ramanan berkata, kestabilan hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat merupakan faktor utama yang perlu dipertahankan melalui pilihan raya.

“Yang penting, hubungan ini mesti dikekalkan jangka masa panjang. Pilihan raya ialah proses demokrasi memilih kerajaan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat Sabah seperti yang selalu ditekankan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Beliau menyeru semua pengundi Sabah turun mengundi dan memilih PH sebagai tanda sokongan kepada masa depan negeri yang lebih stabil, makmur dan terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN