TAWAU: Kerajaan tidak kompromi dalam sebarang isu salah laku dan menekankan bahawa siasatan mesti dijalankan tanpa pengecualian walaupun terhadap pegawai sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya tidak melindungi mana-mana individu yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan prinsip tersebut menjadi teras kepimpinannya.
“Saya tak kata kita ini sempurna, tetapi kalau ada masalah, mesti kita tegas. Dalam Kerajaan Madani, tidak ada ‘cover up’ (tutup). Kalau pegawai saya sendiri salah, tetap disiasat. Saya tak peduli siapa,” katanya ketika berucap pada Program Ceramah Perdana di DUN Merotai Besar di sini, malam tadi.
Anwar berkata, beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada semalam, mengenai dakwaan terhadap seorang bekas setiausaha politik.
“Saya terus kata kepada pihak SPRM siasat. Jangan lindung sesiapa. Kita ikut undang-undang dan peraturan, siasat dahulu, jangan terus hukum,” katanya.
Anwar berkata, kuasa dalam kerajaan bukan alat untuk kepentingan peribadi atau kroni dan budaya menutup salah laku adalah punca negara kehilangan kepercayaan rakyat.
“Kalau ada salah guna kuasa Tan Sri, Datuk, pegawai saya sekalipun, kalau salah tetap mesti disiasat. Kalau salah, mesti ditangkap. Baru negara ini selamat.”
Mengenai pilihan raya Sabah, Anwar menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bertanding bukan kerana mahu merebut jawatan Ketua Menteri, tetapi untuk memastikan projek pembangunan, urus tadbir dan kerjasama Persekutuan dan negeri berjalan lancar.
“Kita mahu pastikan mesej Pusat sampai, projek jalan lancar, tadbir urus negeri lebih baik. Saya tak mahu janji bulan dan bintang. Pilih keputusan yang bijak,” katanya.
Anwar menyeru pengundi Merotai menilai rekod kerja serta ketelusan calon, termasuk calon PH Merotai, Datuk Ruji Ubi yang disifatkannya berpengalaman luas di peringkat nasional.
Katanya, Sabah tidak boleh lagi ketinggalan puluhan tahun daripada aspek pembangunan asas.-UTUSAN










