'Tiada sesiapa terlepas tindakan undang-undang'

‘Tiada sesiapa terlepas tindakan undang-undang’

ANWAR Ibrahim menyampaikan amanat pada Program Grand Finale Harapan Urang Sabah di Stadium Likas.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada pihak terlepas daripada tindakan undang-undang meskipun ia membabitkan individu yang pernah menjadi bekas Setiausaha Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip ketelusan dan integriti terus menjadi keutamaan kerajaan apabila beliau menyokong sepenuhnya siasatan terhadap bekas Setiausaha Politiknya secara profesional.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menepis dakwaan kononnya status individu itu sebagai bekas pegawai Perdana Menteri memberi kekebalan daripada tindakan undang-undang.

“Oh kata dia pegawai Perdana Menteri, tidak boleh siasat. Siapa cakap tidak boleh? Ini bukan Perdana Menteri macam dulu, bila siasat boleh pergi Dubai,” katanya dalam Grand Finale Harapan Urang Sabah di Likas di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Per­dana Menteri selepas dikatakan wujud percubaan untuk memburukkan dirinya sekali gus boleh mencemarkan imej Kerajaan Madani.

Shamsul Iskandar turut dikaitkan dengan tuduhan ra­suah oleh Albert Tei selepas tular klip video dari rakaman kamera tersebunyi yang mendedahkan perbualan ahli perniagaan itu dengan seorang wanita.

Anwar menegaskan kerajaan hari ini sentiasa membuka ruang kepada siasatan bebas, profesional dan berasaskan undang-undang bagi memastikan integriti terus terpelihara.

“Nak siasat, maka siasatlah. Tapi mesti telus, kena profesional. Anda tengok saya boleh buktikan sebab kita mahu kerajaan ini ada integriti, tiada sesiapa mengatasi undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata beliau tidak mengetahui perkembangan terperinci siasatan dan tidak campur tangan dalam keputusan penyiasatan mahupun pendakwaan.

“Adakah saya tahu lebih teliti? Saya tidak tahu. Adakah saya meluluskan? Saya tidak meluluskan. Adakah saya mahu SPRM siasat secara telus? Ya, saya mahu. Adakah (siasatan) secara bebas? Ya,” katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung kes itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk soal pendakwaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN