Sudah masa Muhyiddin lepaskan jawatan 

Sudah masa Muhyiddin lepaskan jawatan 

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpunca daripada kegagalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima perubahan kepemimpinan serta wujudnya kelompok individu yang bergantung kepada beliau.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sudah sampai waktunya untuk Muhyiddin menyerahkan tanggungjawab kepemimpinan kepada tokoh yang dipilih melalui proses parti, namun hal itu sukar diterima oleh sesetengah pihak.

“Saya rasa pergolakan yang berlaku dalam Bersatu ini ada dua sebab. Satu, Tan Sri Muhyiddin tidak menyedari ataupun tidak boleh menerima hakikat sudah sampai masanya untuk dilepaskan tanggungjawab kepimpinan kepada orang yang beliau sendiri pilih sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, faktor kedua berpunca daripada beberapa individu yang kedudukan politiknya bergantung sepenuhnya kepada lantikan Muhyiddin.

“Ada beberapa individu yang talian hayatnya bergantung kepada adanya Tan Sri sebab Tan Sri yang lantik mereka.

“Apabila berlaku pergolakan, yang cakap banyak mempertahankan Tan Sri ialah mereka yang dilantik. Yang dipilih, duduk diam,” katanya.

Wan Saiful berkata, pemimpin yang mendapat mandat daripada ahli parti memilih untuk berdiam diri kerana mahu menjaga kestabilan parti dan mengelakkan perpecahan lebih buruk.

“Yang ada mandat daripada ahli, yang dipilih dalam pemilihan parti, diam sebab kita sayang parti sebenarnya, termasuklah saya,” katanya.

Wan Saiful mengingatkan bahawa budaya memuja pemimpin tidak pernah menjadi amalan Bersatu, malah ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan parti, tidak wujud larangan untuk bertemu beliau.

“Bila Dr. Mahathir keluar Bersatu, kita tidak ikut keluar pun. Walaupun beliau keluar akibat kesalahan disiplin, tidak ada siapa keluarkan pekeliling menyatakan dilarang jumpa Tun Mahathir. 

“Sebab kita hormat kepada beliau. Tetapi bila beliau tinggalkan parti, maka parti kekal sebagai entiti yang kuat, memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Beliau juga yakin situasi sama boleh berlaku sekiranya Muhyiddin mengambil pendekatan berjiwa besar untuk mengundurkan diri.

“Sekiranya berjiwa besar seperti Dr. Mahathir, Tan Sri akan tinggalkan parti sebagai parti yang boleh membina legasinya dan kemudian bawa perkara lebih baik daripada apa yang boleh dibuat sekarang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN