KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) diminta menjadi penggubal kerangka Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (SSWF) termasuk penyediaan draf enakmennya.
Pengerusi Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SSWF merupakan antara janji manifesto sekiranya GRS diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Saya telah meminta SLS terlibat dalam pasukan menyediakan kerangka SSWF termasuk penggubalan enakmen berkaitan,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan dengan Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin dan bekas presiden, Datuk Roger Chin di kediamannya di sini semalam.
Penubuhan dana pertama SSWF antara ikrar manifesto pilihan raya GRS yang dilancarkan pada 17 November bertujuan meningkatkan hasil tahunan negeri kepada RM10 bilion menjelang 2030.
Modal permulaan SSWF akan diambil daripada sebahagian rizab negeri Sabah bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang untuk generasi akan datang dan daripada geran khas 40 peratus Sabah daripada Putrajaya akan turut disalurkan ke dalam dana tersebut setiap tahun.
Hajiji berkata selain wakil kerajaan, pasukan SSWF juga melibatkan golongan profesional serta pakar dalam bidang pelaburan, kewangan dan perundangan.
Dalam pada itu Hajiji berkata, SLS diminta untuk mengemukakan input untuk mengukuhkan tuntutan Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, input SLS, yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri, amat penting bagi memperkukuh rangka kerja yang menjadi asas perbincangan berterusan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dengan SLS, saya mendengar pandangan dan cadangan mereka. Saya telah meminta mereka menyediakan input terperinci dan mengemukakannya kepada Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri untuk terus mengukuhkan tuntutan kita,” katanya.-UTUSAN










