TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, berpotensi membawa perubahan signifikan kepada pembangunan dan pentadbiran di kawasan itu.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengundi DUN Merotai agar tidak melepaskan peluang untuk memilih calon berkelayakan.
“Ruji merupakan sosok berpengalaman dalam perkhidmatan awam serta memiliki latar pendidikan kukuh, selain sebagai anak jati Merotai yang memahami keperluan dan isu di kawasan itu.
“Saya merayu kepada pengundi DUN Merotai agar tidak melepaskan peluang memilih calon terbaik.
“Beri peluang kepada beliau (Ruji). Ini satu rayuan yang kami anggap munasabah kerana kejayaan meletakkan beliau sebagai wakil rakyat di sini tentu membolehkan penduduk DUN Merotai mempunyai wakil yang memahami urusan rakyat serta selok-belok pentadbiran kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas program Malam Santai Belia di Dewan Terbuka Merotai Besar semalam.
Saifuddin Nasution berkata, Ruji mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hasil perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik yang menyaksikan beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan seterusnya sebagai Ketua Setiausaha di beberapa kementerian strategik seperti Kementerian Perpaduan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Ruji berkata 50 peratus pengundi di DUN Merotai terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun, dan sokongan generasi muda amat penting memandangkan mereka memerlukan peluang pekerjaan termasuk dalam bidang keusahawanan.
“Keperluan anak muda boleh saya sampaikan terus kepada Perdana Menteri,” katanya sambil menambah bahawa beliau turut mengambil maklum isu pewartaan kampung dan tanah adat.










