RM718.5j pacu kesejahteraan rakyat Perak

RM718.5j pacu kesejahteraan rakyat Perak

SAARANI Mohamad membentangkan Belanjawan 2026 negeri Perak pada Persidangan DUN di Ipoh semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belanjawan Perak 2026 menumpukan sepenuhnya kepada aspek kesejahteraan rakyat dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM718.5 juta iaitu peningkatan RM89.8 juta berbanding belanjawan tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat akan menerima peruntukan sebanyak RM47.3 juta.

Katanya, jumlah itu meningkat RM1.4 juta berbanding tahun 2025 di mana sebahagian besar peruntukan itu akan dibelanjakan bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM37 juta.

“Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan mencecah RM32.1 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat.

“Antaranya ialah program Kad Perak Sejahtera melibatkan peruntukan sebanyak RM24.5 juta iaitu kenaikan RM500,000 dengan jumlah penerima meningkat kepada 21,000 daripada 19,758 pada tahun 2025.

“Bagi Kedai Bergerak Negeri Perak yang akan dijenamakan sebagai Jualan Sejahtera Rakyat, peruntukan sebanyak RM1.2 juta disalurkan iaitu meningkat RM400,000 berbanding tahun lalu manakala RM6 juta bagi Program Bantuan Kotak Makanan dengan kenaikan sebanyak RM1 juta.

“Sebanyak RM400,000 pula diperuntukan bagi Jualan Sejahtera Rahmah,” katanya berucap ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, peruntukan yang lebih besar ini mencerminkan komitmen jelas kerajaan negeri untuk memperkukuh perkhidmatan rakyat, memperluas jaringan kebajikan dan memastikan pembangunan negeri benar-benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

Katanya, dalam merangka pembangunan negeri, kerajaan Perak berpegang bahawa rakyat mesti menjadi nadi setiap keputusan, dengan semua dasar, pelaburan dan projek dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Pelaksanaan empat program itu menzahirkan komitmen teguh kerajaan negeri untuk terus berada di sisi rakyat yang sedang berdepan himpitan.

“Manfaat program ini adalah khusus untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) yang setiap hari berjuang memastikan dapur tidak terpadam dan keperluan asas anak-anak sentiasa terjaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN