KUALA LUMPUR: Ringgit kini mencatat prestasi terbaik di Asia apabila didagangkan pada paras RM4.16 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi positif mata wang tempatan itu membuktikan kekuatan asas ekonomi Malaysia meskipun kerajaan sebelum ini sering menjadi sasaran kecaman sewaktu ringgit melemah.
Katanya, prestasi itu sekali gus menunjukkan keyakinan kukuh terhadap ekonomi negara di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
Namun, beliau melahirkan rasa kesal kerana tiada sebarang penghargaan disuarakan oleh pembangkang terhadap pencapaian itu, sebaliknya mereka hanya lantang bersuara ketika ringgit berada pada paras rendah selepas beliau mengambil alih kerajaan pada 2022.
“Dulu bila ringgit jatuh, bertubi-tubi saya diserang. Sekarang bila ringgit mengukuh, tidak disebut sepatah pun. Inilah masalahnya. Hari ini ringgit berada pada paras RM4.16 berbanding AS$1 sekali gus menjadikan ringgit mata wang berprestasi terbaik di Asia.
“Penilaiannya bukan ditentukan oleh kita, tetapi oleh agensi antarabangsa seperti S&P Global Ratings yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A- dan A3 dengan tinjauan stabil dan kukuh,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani selepas tempoh 18 hingga 24 bulan serta langkah pengukuhan dasar itu bagi memastikan matlamatnya tercapai.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi serta pengenaan tarif baharu oleh AS, trend perdagangan Malaysia kekal positif dengan peningkatan 4.4 peratus.
“Untuk rekod, jumlah pelaburan meningkat kepada RM384.2 bilion pada 2024, manakala daya saing global Malaysia bagi 2025 melonjak 11 anak tangga yang merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun.
“Dari Januari hingga September 2025, jumlah dagangan negara meningkat 4.4 peratus kepada RM2.24 trilion walaupun berdepan cabaran global,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan pelaksanaan penyasaran subsidi merupakan antara pencapaian penting kerajaan Madani apabila berjaya menjimatkan lebih RM15 bilion dana negara.
“Keputusan ini telah dibincangkan sejak puluhan tahun lalu tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana tiada tekad politik.
“Alhamdulillah, kerajaan kini berjaya melaksanakannya dengan penjimatan besar kepada negara,” katanya.
Anwar berkata, ekonomi Malaysia kini semakin kukuh dan berdaya tahan dengan pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025 dan 5.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.
“Pertumbuhan keseluruhan 2025 dijangka melepasi unjuran asal. Pendapatan per kapita turut meningkat kepada RM54,793, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Ini angka dan data yang tidak boleh dinafikan,” katanya.
Mengulas dakwaan pembangkang bahawa defisit fiskal semakin meningkat, beliau berkata, angka rasmi menunjukkan penurunan konsisten sejak 2023.
“Defisit fiskal menurun daripada 5.5 peratus kepada lima peratus pada 2023 dan terus menurun pada 2024. Ini hasil disiplin fiskal dan strategi kewangan yang kukuh.
“Jika defisit meningkat, pelabur akan hilang keyakinan. Tetapi dengan disiplin yang ditunjukkan, kerajaan menjangka defisit akan menurun lagi kepada 3.8 peratus pada 2025 dan 3.5 peratus pada 2026,” katanya.
Anwar turut mempertahankan prestasi Kabinet yang berjaya mengurangkan hutang baharu kerajaan walaupun berdepan serangan politik berterusan.
“Dakwaan hutang negara membengkak adalah tidak tepat. Mereka mencampurkan hutang lama dengan kadar faedah terdahulu.
“Hutang baharu kerajaan menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion.
“Kerajaan masih perlu berhutang tetapi ia bagi membiayai keperluan asas rakyat seperti projek tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu, kesihatan serta pendidikan, bukan perbelanjaan membazir,” katanya. – UTUSAN










