PRN Sabah: DUN Usukan medan ujian tokoh lama dan kuasa wanita

PRN Sabah: DUN Usukan medan ujian tokoh lama dan kuasa wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Seramai enam calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini selepas proses penamaan calon selesai pagi tadi.

Pertandingan penjuru itu membabitkan penyandang, Datuk Seri Salleh Said Keruak mewakili Barisan Nasional (BN), yang sekali lagi mempertahankan kerusi tradisi UMNO di kawasan tersebut.

Beliau dicabar Datuk Japlin Akim yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), juga merupakan bekas ADUN Usukan yang kembali ke gelanggang politik serta Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis.

Lin harun (STAR) turut bertanding pada PRN kali ini, Jeffrey Madis mewakili Parti Impian Sabah (PIS) dan Ajun Meliun mewakili Bebas.

Suasana pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak berlangsung terkawal dengan kehadiran ratusan penyokong parti masing-masing, walaupun pertembungan kali ini dijangka lebih sengit berbanding PRN16 yang hanya menyaksikan tiga penjuru.

Kerusi Usukan, antara kubu penting di Parlimen Kota Belud, kini menjadi perhatian kerana pertembungan dua tokoh lama iaitu Salleh dan Japlin yang masing-masing pernah memegang jawatan ADUN di kawasan sama.

Kali ini, ia disaingi hebat dari parti Warisan yang menampilkan ahli Dewan Rakyat, berpotensi mampu membawa suara masyarakat setempat di Parlimen.

Untuk rekod, Mohd Salleh merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dan Menteri Persekutuan akan kembali mempertahankan Usukan bagi UMNO apabila PRN lalu, beliau menang dengan majoriti selesa 4,298 undi, selepas meraih 8,280 undi bagi menewaskan Warisan (3,982) dan PCS (421).

Salleh berkhidmat di Usukan sejak 1994, dan kemudian kerajaan Sabah dari tahun tersebut hingga 1996.

Beliau mewakili rakyat Kota Belud apabila menang kerusi Parlimen itu pada PRU 1995, 1999 dan 2004.

Pada PRN kali ini juga, tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini dijangka menyaksikan persaingan sengit dengan isu pembangunan luar bandar, akses jalan raya serta sentimen tempatan menjadi faktor penentu sebelum pengundi keluar memilih wakil rakyat baharu pada hari pengundian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN