PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Negara Palestin menyambut baik keputusan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik pakar-pakar bebas bagi meneruskan mandat Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas yang menyiasat pelanggaran berat hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pada 27 Mei 2021 yang memberi mandat untuk menjalankan siasatan berterusan terhadap tindakan rejim Israel di wilayah berkenaan.
Menurut Kedutaan Palestin dalam satu kenyataan, keputusan tersebut mencerminkan komitmen masyarakat antarabangsa dalam memastikan tanggungjawab terhadap pelanggaran serius serta jenayah yang dilakukan oleh Israel.
“Selain menekankan keperluan mendesak kepada mekanisme berkesan bagi melindungi orang awam Palestin dan menguatkuasakan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kedutaan Palestin berkata, Kementerian itu turut menegaskan sokongan penuh terhadap kerja-kerja suruhanjaya berkenaan serta tiga pakar baharu yang dilantik, iaitu Srinivasan Muralidhar, Florence Mumba dan Chris Sidoti.
Dalam pada itu, Palestin turut merakamkan penghargaan kepada bekas ahli suruhanjaya, Navi Pillay dan Miloon Kothari atas usaha memantau, mendokumentasi serta menyiasat pelanggaran dan jenayah berat Israel mengikut standard dan peruntukan undang-undang antarabangsa.
“Hasil kerja kedua-dua tokoh itu telah menyumbang secara signifikan dalam membongkar kebenaran serta mengukuhkan usaha antarabangsa ke arah pendakwaan undang-undang, sekali gus membuka laluan bagi menamatkan budaya impuniti,” katanya.
Sehubungan itu, Palestin menegaskan keperluan untuk membenarkan suruhanjaya berkenaan memasuki wilayah negara itu, memperoleh akses tanpa sekatan terhadap fakta di lapangan serta dibekalkan sumber yang mencukupi bagi melaksanakan mandat mereka secara bebas dan berkesan.
“Penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip akauntabiliti merupakan satu-satunya laluan bagi menjamin perlindungan hak asasi manusia dan menegakkan keadilan.
“Kesinambungan kerja-kerja suruhanjaya pencarian fakta sehingga berakhirnya pendudukan haram Israel adalah langkah penting dalam usaha menentang jenayah yang dilakukan serta menamatkan kezaliman berterusan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










