HULU LANGAT: Keadaan cuaca buruk dengan hujan berterusan sejak petang semalam menimbulkan kebimbangan penduduk di sini sekali gus ada sebahagiannya nekad berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Seorang penduduk warga emas, Halimah Sidek, 67, berkata, dia terpaksa mengemas barang dan berpindah ke PPS bersama anak bongsunya seawal pagi tadi.
Dia antara penduduk Kampung Sungai Serai, di sini, yang terjejas banjir selepas rumahnya dinaiki air kira-kira 0.6 meter hari ini.
Menurutnya, dia sudah menetap di kampung berkenaan sejak 1984 dan mengakui kawasan berkenaan kerap terjejas banjir hampir saban tahun.
“Hujan mula sejak pukul 4.30 petang semalam dan berterusan hari ini sehingga air semakin naik tinggi di kawasan rumah kami.
“Saya dan anak terus kemas barang selepas Subuh tadi kerana memang jangka air akan naik dan hari ini terpaksa berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, air sungai berhampiran rumahnya juga sudah mula melimpah.
“Nasib baik rumah kami tidak banyak barang sangat kerana sudah banyak kali banjir sebelum ini jadi tak berani nak beli barang lagi, pakai apa yang ada saja.
“Beberapa barang seperti tilam saya letak di tempat tinggi sedikit supaya tak kena air, kereta juga sudah dipindahkan ke PPS.
“Apa-apa pun saya sudah reda kerana banjir kerap berlaku hingga tak tahu nak buat apa lagi, tahun ini saja sudah empat kali banjir,”jelasnya.
Katanya, ketika ini jalan masuk ke kawasan kampung juga sudah mula ditutup kepada orang awam sejak pukul 10.30 pagi tadi dan paras air juga dilihat semakin laju.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Serai, Noor Azam Mohamad berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira lebih 70 rumah di kampung itu terjejas banjir susulan hujan berterusan.
Katanya, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai pada pukul 10.13 pagi tadi selepas beliau memaklumkan keadaan semasa kepada penghulu untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, selain Kampung Sungai Serai kampung lain yang terjejas ialah Sungai Lui, Kampung Jawa, Batu 18, Dusun Tua, Batu 14, Batu 13 dan Dusun Nanding. – UTUSAN










