Eksport Malaysia melonjak 54.5 peratus - Utusan Malaysia

Eksport Malaysia melonjak 54.5 peratus

EKSPORT barangan pembuatan dijangka berkembang sebanyak 2.6 peratus berikutan prestasi stabil industri elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya semikonduktor, yang disokong permintaan berterusan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada September 2026, disokong oleh pertumbuhan dua digit yang berterusan dalam eksport dan import.

Jabatan Perangkaan (DOSM) berkata, jumlah perdagangan meningkat 53.7 peratus daripada RM258.1 bilion pada September 2025 kepada RM396.5 bilion pada September 2026.

Katanya, eksport meningkat 54.5 peratus kepada RM215.1 bilion, manakala import bertambah 52.7 peratus kepada RM181.4 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, lebihan dagangan berkembang 64.9 peratus kepada RM33.7 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-77 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Eksport domestik, yang merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 54.7 peratus kepada RM162.0 bilion. Eksport semula, yang menyumbang 24.7 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 53.7 peratus kepada RM53.1 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Menurut DOSM, secara perbandingan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing meningkat 12.6 peratus, 11.3 peratus dan 12.0 peratus berbanding Ogos 2026, manakala lebihan dagangan meningkat 20.1 peratus atau RM5.6 bilion.

“Mengikut kumpulan barangan pula, 161 daripada 258 kumpulan barangan eksport dan 197 daripada 256 kumpulan barangan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan eksport didorong terutamanya oleh penghantaran yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM18.0 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM13.7 bilion), Singapura (+RM11.9 bilion), Hong Kong (+RM6.9 bilion), Kesatuan Eropah (+RM4.2 bilion), China (+RM3.7 bilion) dan Thailand (+RM3.2 bilion),” katanya.

Katanya, kenaikan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM21.1 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM10.9 bilion), Republik Korea (+RM9.1 bilion), Taiwan (+RM6.9 bilion), Amerika Syarikat (+RM3.0 bilion), Viet Nam (+RM2.8 bilion) dan India (+RM1.8 bilion).

“Pertumbuhan eksport dipacu oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM45.1 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM14.7 bilion), keluaran petroleum (+RM3.0 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM2.4 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM2.4 bilion) serta gas asli cecair (+RM1.7 bilion).

“Pada masa yang sama, peningkatan import didorong oleh aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik & elektronik (+RM42.2 bilion), jentera, kelengkapan & peralatan (+RM4.5 bilion), keluaran petroleum (+RM3.9 bilion), barangan perkilangan logam (+RM2.6 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM2.0 bilion) serta kimia dan produk kimia (+RM2.0 bilion),” katanya.

Sementara itu, mengikut kategori penggunaan akhir, peningkatan import didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan.

“Import barangan perantaraan meningkat 69.6 peratus atau RM37.8 bilion kepada RM92.1 bilion. Import barangan modal meningkat 20.9 peratus atau RM3.9 bilion, mencecah RM22.3 bilion.

“Sementara itu, import barangan penggunaan meningkat 18.2 peratus atau RM1.7 bilion, berjumlah RM10.9 bilion berbanding September 2025,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2026 meningkat 30.1 peratus kepada RM2.9 trilion, berbanding RM2.2 trilion dalam tempoh yang sama tahun 2025.

“Pertumbuhan ini didorong oleh kenaikan dalam eksport (+34.0%) dan import (+25.7%), manakala lebihan dagangan turut berkembang 115.7 peratus kepada RM232.4 bilion.

“Pada suku ketiga 2026, jumlah perdagangan meningkat 44.7 peratus, didorong oleh peningkatan dalam eksport (+46.0%) dan import (+43.3%), dengan lebihan dagangan berjumlah RM84.3 bilion iaitu meningkat 65.1 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini