PETALING JAYA: Eksport Malaysia bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini melonjak 31.2 peratus kepada RM1.356 trilion, berbanding RM1.033 trilion dalam tempoh sama tahun lalu, didorong kepelbagaian pasaran serta peningkatan eksport merentasi pelbagai sektor.
Prestasi itu menyaksikan eksport ke 40 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Ireland bagi Januari hingga Ogos telah melepasi nilai eksport keseluruhan yang direkodkan sepanjang 2025.
Pencapaian berkenaan mencerminkan perkembangan pasaran eksport Malaysia yang semakin meluas, khususnya menerusi penerokaan pasaran baharu dan bukan tradisional.
Antara pasaran yang mencatat pertumbuhan ketara ialah Namibia dengan peningkatan 430.6 peratus, diikuti Angola sebanyak 215.4 peratus, Tanzania (50.2 peratus), Ethiopia (51.2 peratus) dan Bangladesh (20.2 peratus).
Bagi blok ekonomi BRICS pula, eksport Malaysia meningkat 19.1 peratus kepada RM251.47 bilion, dengan pertumbuhan dua digit direkodkan di pasaran utama seperti China sebanyak 23.7 peratus, India (23.4 peratus), Brazil (27.5 peratus) dan Afrika Selatan (43.4 peratus).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian eksport berkenaan menunjukkan strategi kepelbagaian pasaran dan produk yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil.
“Pencapaian rekod eksport tertinggi ini membuktikan bahawa anjakan strategik kepada kepelbagaian pasaran dan barangan sejak beberapa tahun kebelakangan telah mula membuahkan hasil di tengah-tengah ketidaktentuan rantai bekalan global yang membuka peluang permintaan terhadap eksport Malaysia.
“Landskap baharu ini turut menyerlahkan keanjalan struktur ekonomi dan ketahanan para pengeksport Malaysia, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), dalam mengurangkan serta menangani impak ketidaktentuan global,” katanya.
Menurut beliau, Matrade akan terus memperkukuh inisiatif akses pasaran menerusi program pembangunan keupayaan pengeksport yang bersepadu dan disesuaikan mengikut keperluan.
“Pendekatan itu turut melibatkan kerjasama menyeluruh kerajaan serta kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan swasta bagi memperluas peluang pasaran kepada syarikat Malaysia,” katanya.
Eksport ke Ethiopia turut mengatasi nilai eksport keseluruhan yang dicatatkan pada 2025, sekali gus menunjukkan perkembangan penembusan pasaran bukan tradisional dalam usaha mempelbagaikan destinasi eksport negara.
Dari segi produk, pertumbuhan eksport turut merentasi pelbagai industri selain sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Barangan optik dan saintifik mencatat peningkatan sebanyak 37.6 peratus, diikuti keluaran petroleum (26.6 peratus), barangan perkilangan logam (21.6 peratus), jentera, kelengkapan dan peralatan (18.4 peratus) serta gas asli cecair (LNG) sebanyak 17.2 peratus.
Sementara itu, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit turut merekodkan pertumbuhan kukuh, khususnya produk berasaskan oleokimia yang meningkat 12.6 peratus.
Prestasi tersebut turut disumbangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang memainkan peranan penting dalam memperluas eksport produk bernilai tambah dan hiliran.
Dalam pada itu, Matrade akan terus mempergiat aktiviti promosi eksport di peringkat tempatan dan global bagi mengetengahkan keupayaan syarikat Malaysia.
Antara program utama ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur.
Pameran perdagangan halal itu dijangka menghimpunkan 1,700 peserta pameran dari dalam dan luar negara, selain 300 pembeli antarabangsa serta 27 agensi media antarabangsa. – UTUSAN










