KUALA LANGAT: Yayasan Bonda Salmah menyantuni mangsa banjir di Bukit Changgang di sini dengan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang.
Pengerusinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri keadaan mangsa selain menyampaikan sumbangan hasil kerjasama strategik dengan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat pihak berkuasa, seramai 562 mangsa membabitkan 246 keluarga terkesan akibat banjir yang melanda kawasan itu.
“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 166 keluarga masih ditempatkan di PPS SK RTB Bukit Changgang, manakala selebihnya telah pulang ke kediaman masing-masing atau berada di lokasi yang lebih selamat.
“Melalui lawatan ini, Yayasan Bonda Salmah bersama Yayasan Taqwa telah menyampaikan bantuan berupa bakul makanan sedia dimakan (Ready-to-Eat, RTE) serta Kit Kebersihan yang mengandungi keperluan asas bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pemulihan pasca banjir,” katanya di sini semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, kerjasama dengan Yayasan Taqwa membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan rakyat yang ditimpa musibah terus diberi perhatian.
Beliau berkata, Yayasan Bonda Salmah akan terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa agenda kebajikan dan kemanusiaan di seluruh negara.
Katanya, komitmen yayasan itu tidak hanya tertumpu kepada bantuan ketika bencana, malah meliputi bantuan kepada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), pesakit serta individu dan komuniti yang memerlukan pembelaan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im yang juga Ahli Dewan Negara turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan, agensi kerajaan, sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus membantu mangsa sejak hari pertama kejadian.
Beliau berkata, musibah banjir membuktikan semangat kebersamaan, ihsan dan saling membantu merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang serta bertanggungjawab.
“Saya percaya apabila semua pihak berganding bahu tanpa mengira latar belakang, setiap ujian dapat dihadapi dengan lebih baik.
“Saya bersama seluruh warga Yayasan Bonda Salmah mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan, kesabaran dan dipermudahkan segala urusan pemulihan pasca banjir,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru seluruh rakyat Malaysia, sektor korporat, NGO dan individu yang berkemampuan untuk terus menzahirkan solidariti dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana.
“Setiap sumbangan yang diberikan, walau sekecil mana sekalipun, mampu membawa sinar harapan dan meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN










