KUCHING: Sarawak dilanda gelombang kedua banjir pada bulan ini, dengan beberapa kawasan mula terjejas ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Antaranya di Kampung Seruyuk, Kota Samarahan apabila seramai 25 orang penduduk dari lapan Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan, kesemua penduduk terbabit dipindahkan ke PPS bangunan masjid lama Kampung Seruyuk pada jam 8 pagi, hari ini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan menyatakan tinjauan pagi tadi mendapati beberapa rumah penduduk di Kampung Malagangai dan Jalan Sungai Poyan di Limbang telah dilanda banjir kilat.
Bagaimanapun, katanya tiada pemindahan penduduk dilakukan.
Selain itu, tinjauan di Kampung Sadong Jaya Ulu, Asajaya mendapati kawasan tersebut turut dinaiki air.
“Anggota yang membuat rondaan telah menasihati penduduk untuk sentiasa berwaspada dengan kenaikan paras air dan menghubungi pihak berwajib sekiranya memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN








