Pemuda pakai baju 'Aku Kuat Aku Ultraman' diburu polis

Pemuda pakai baju ‘Aku Kuat Aku Ultraman’ diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki secara sembunyi merakam seorang wanita dalam tandas awam di pusat beli-belah Mayang Mall di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, seorang wanita berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual menyedari kewujudan seunit telefon bimbit yang sedang merakam di ruang celahan pintu tandas tempat dia berada. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa kemudian keluar dari tandas dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali memegang telefon berkenaan sebelum melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan awal 20-an, berambut perang, memakai baju-T putih tertera gambar Ultraman dan tulisan Aku Kuat Aku Ultraman, berseluar jean gelap serta membawa beg silang. Mangsa sempat merakam visual suspek dari arah belakang ketika suspek melarikan diri.

“Tinjauan kamera litar tertutup (CCTV) Mayang Mall turut mengesahkan pergerakan suspek yang berlari keluar melalui pintu utama pusat beli-belah tersebut menuju ke arah Dataran Shahbandar,” katanya hari ini.

Menurut Azli, polis meneruskan siasatan dengan mendapatkan rakaman penuh CCTV daripada pengurusan Mayang Mall bagi pengecaman wajah suspek serta menyalurkan maklumat suspek kepada Team Risikan Operasi untuk tindakan lanjut. 

Katanya, usaha mengesan saksi-saksi juga sedang diteruskan bagi mengukuhkan pembuktian dalam kes tersebut.

“Pihak polis memandang serius kejadian sebegini yang melibatkan pencerobohan ruang peribadi serta perbuatan mengaibkan, khususnya di tempat awam. Kes disiasat di bawah Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan melakukan perbuatan yang memalukan atau menjatuhkan maruah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menyalurkannya kepada IPD Kuala Terengganu melalui Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN