PARLIMEN: 2,623 Coop Mart aktif di seluruh negara

PARLIMEN: 2,623 Coop Mart aktif di seluruh negara

RAMANAN RAMAKRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,623 kedai Coop Mart kini aktif beroperasi di seluruh negara, dengan kategori sekolah menjadi penyumbang terbesar iaitu 1,807 outlet, diikuti kategori dewasa sebanyak 652 outlet.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, selebihnya terdiri daripada 120 outlet di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), 39 outlet di bawah D’Mart (Koperasi Permodalan Felda) serta lima outlet ANGKASA Mart.

Bagi kawasan Parlimen Sungai Besar, katanya, terdapat 13 outlet Coop Mart aktif, merangkumi sebuah outlet kategori pengguna dewasa dan 12 outlet kategori sekolah.

“Angka ini menunjukkan perniagaan koperasi terus berkembang serta memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat, khususnya komuniti setempat, mendapat akses kepada barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (BN–Sungai Besar) pada sesi pertanyaan lisan yang meminta penjelasan mengenai jumlah outlet Coop Mart serta langkah memastikan ia kekal berdaya saing.

Ramanan berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang memperkukuh kedudukan Coop Mart melalui pelbagai inisiatif termasuk penjenamaan semula sebagai ‘kedai komuniti rakyat dengan harga berpatutan’ dan pembukaan kedai konsep di bandar utama sebagai ikon jenama.

Selain itu, katanya, aspek rantaian bekalan turut diperkukuh dengan penambahan pusat pengedaran koperasi logistik serta penghasilan produk jenama sendiri (private label) pada harga lebih rendah bagi menarik minat pengguna.

Katanya, kerajaan turut mempergiat usaha pendigitalan melalui penggunaan sistem jualan dan inventori bersepadu, pembangunan aplikasi mudah alih Coop Mart serta pemanfaatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Selain menawarkan diskaun khas kepada anggota koperasi, kempen harga komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan B40 turut dilaksanakan, selain pakej barangan asas dengan margin rendah bagi memastikan harga kekal mampu milik,” katanya.

Katanya, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga terus memperkukuh kursus dan bimbingan pengurusan kepada anggota koperasi bagi memastikan kecekapan operasi dapat ditingkatkan.

“Kerajaan menggalakkan penglibatan aktif anggota serta komuniti setempat menerusi program promosi, jualan amal dan aktiviti kemasyarakatan yang memperkukuh peranan Coop Mart sebagai pemangkin pembangunan komuniti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN