PETALING JAYA: Seramai 11 individu melibatkan 10 pegawai agensi penguat kuasa serta seorang pesara agensi berkenaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Penahanan kesemua suspek melibatkan tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an dibuat selepas disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Menurut sumber, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
“Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi RTK.
“Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket counter setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” katanya.
Sumber berkata, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas dan tiga kereta serta dua motosikal.
“Kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya esok pagi bagi permohonan reman,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










