MAPIM dedah 497 pelanggaran gencatan senjata

MAPIM dedah 497 pelanggaran gencatan senjata

PASUKAN kecemasan Gaza memeriksa sebuah bangunan yang terbakar akibat bedilan udara tentera Israel di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan Israel yang didakwa terus melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza, sekali gus membuktikan usaha menghentikan keganasan itu hanya wujud di atas kertas.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, data terkini yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan Gaza pada 22 November lalu menunjukkan kekejaman rejim penjajah itu yang terus melakukan pelanggaran walaupun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai.

Menurutnya, sebanyak 497 pelanggaran direkodkan setakat ini, termasuk 27 pelanggaran pada Sabtu lalu sahaja yang mengorbankan 24 nyawa dan mencederakan 87 yang lain.

“Angka ini membuktikan langsung tiada komitmen sebenar Israel untuk mematuhi prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau melindungi orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAPIM turut memaklumkan bahawa sejak gencatan senjata bermula, seramai 342 orang awam terbunuh, majoritinya wanita, kanak-kanak dan warga emas, manakala 875 lagi cedera.

Selain itu, seramai 35 orang awam ditahan secara sewenang-wenangnya, sekali gus menggambarkan niat berterusan rejim Israel untuk mencetuskan ketegangan dan keganasan di lapangan.

Daripada keseluruhan pelanggaran yang direkodkan, sebanyak 142 insiden melibatkan tembakan langsung ke arah orang awam, kediaman serta khemah pelarian, manakala 21 pencerobohan kenderaan tentera ke kawasan kediaman dan pertanian turut dilaporkan.

Selain itu, 228 serangan darat, udara dan artileri telah dilancarkan, selain 100 perobohan membabitkan kediaman serta kemudahan awam.

“Semua tindakan tersebut bukanlah pelanggaran terpencil, sebaliknya satu kempen hukuman kolektif yang disengajakan terhadap rakyat Gaza.

“Perbuatan ini jelas melanggar Konvensyen Geneva serta semua norma undang-undang antarabangsa yang bertujuan melindungi orang awam,” katanya.

Sehubungan itu, MAPIM menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, negara-negara perantara, pihak penjamin perjanjian serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak lebih tegas bagi menghentikan pelanggaran tersebut.

Menurutnya, hanya tekanan antarabangsa yang benar-benar kuat dan bersepadu mampu memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

MAPIM turut menegaskan pendiriannya untuk terus berdiri teguh bersama rakyat Gaza dan menggesa masyarakat dunia, institusi kemanusiaan dan kerajaan supaya meningkatkan tekanan diplomatik, perundangan dan advokasi ke atas Israel bagi melindungi orang awam.

“Kekejaman ini mesti dihentikan segera dan tidak boleh terus berselindung di sebalik istilah gencatan senjata,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN