KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memaklumkan beliau belum menghantar surat rayuan untuk menyertai semula parti berkenaan.
Beliau pada masa sama memaklumkan kehadirannya ke Menara Dato’ Onn di sini hanyalah bagi memenuhi jemputan forum dan tiada sebarang makna lain.
“Belum hantar surat. Hari ini saya bukan hadir program politik. Itu ‘hint’ terima kasih sebab jemput ke program ini.
“At the right time, nanti saya akan maklumkan (masuk semula UMNO),” katanya kepada pemberita selepas forum Rundingan Meja Bulat Nasional 1.0, Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru di sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Rembau itu meminta diberikan tempoh masa beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai penyertaan semula ke parti berkenaan.
Beliau berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.
Media sebelum ini melaporkan Khairy bakal menyertai semula UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu setakat ini belum membuat keputusan untuk menerima kembali Khairy malah belum membincangkan perkara berkenaan. -UTUSAN










