Kerajaan muktamad rayuan pemulangan 40 peratus Sabah esok

Kerajaan muktamad rayuan pemulangan 40 peratus Sabah esok

ANWAR Ibrahim menyampaikan geran kepada salah seorang penerima sempena Jelajah Malaysia Digital (JMD) Sabah 2025 di perkarangan Pasar Taman Semarak, Tawau. -UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa.

“Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital di Tawau, Sabah hari ini.

Anwar berkata, terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.

“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? 

“Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government). Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim berkata, tiada agenda untuk membincangkan rombakan Kabinet dalam Mesyuarat Kabinet Khas esok.

Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan satu taklimat khas Kabinet mungkin diadakan esok bagi membincangkan hal berkaitan rombakan Kabinet.

Spekulasi mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat muncul berikutan beberapa kekosongan jawatan menteri yang masih belum diisi setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN