Jangan sisihkan pekerja bawahan, apabila untung besar

Jangan sisihkan pekerja bawahan, apabila untung besar

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan seorang pesakit pada Majlis Pelancaran Kolej Universiti IJN di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat swasta yang mencatat keuntungan besar diingatkan untuk tidak menyisihkan kebajikan pekerja bawahan, termasuk petugas pembersihan terutamanya dalam soal pendidikan ahli keluarga mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini mampu diangkat ke tahap lebih hebat dengan mutu pendidikan yang baik.

Katanya, semua pihak perlu ada sifat prihatin, empati dan ihsan kepada rakyat khususnya golongan miskin dengan memastikan setiap warganegara tidak tersisih dalam segala aspek termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Janganlah kita kesampingkan atau meremehkan keperluan rakyat dari pelbagai kalangan. Negara ini tidak mungkin menerima kenyataan pembangunan tapi dalam masa sama menyisihkan sebagian rakyat sama ada kaum atau pedalaman atau yang miskin.

“Ini tanggungjawab kita. Ia tidak mudah kerana kadang-kadang orang lebih senang bicara soal daerah dan wilayah, kaum dan kedudukan.

“Tapi kita mesti ingat, membangunkan negara ini bermakna membangunkan semua rakyat. Jangan mengizinkan mana-mana rakyat merasa tersisih,” katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Menjelaskan konsep Negara Madani, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menghalang mana-mana syarikat terus mencatatkan keuntungan tetapi mereka juga harus melihat kepada nasib pekerja.

Memberikan contoh IJN sebagai institusi kesihatan masyhur, beliau berkata, ia kerana perkhidmatan diberikannya terbaik, bahkan mengakui kepakarannya setara dengan institusi kesihatan terbaik di dunia.

“Namun kita harus faham kerana apa, pakar-pakarnya luar biasa hebat, kemudahannya baik, tapi kejayaan IJN itu juga kerana tukang cuci, selain dari jururawat, juruteknik dan lain-lain.

“Ini yang saya hendak tekankan dalam pembangunan manusiawi. Yang terbaik dan teratas harus diberikan ganjaran setimpal dan yang serendah semiskin yang tukang cuci tandas itu juga bagi kita ada maruah dan ada sumbangannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kolej Universiti IJN merupakan contoh agenda perubahan negara yang ingin dibawa kerana ia menggabungkan dua sektor terpenting iaitu pendidikan dan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×