TAWAU: Pemimpin luar diingatkan supaya tidak sesekali memainkan sentimen politik yang menyentuh sensitiviti etnik di Sabah kerana negeri ini mempunyai realiti sosial yang berbeza serta memerlukan kefahaman mendalam terhadap keharmonian masyarakat.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr. Elmiariezan Ardan berkata, bahawa Sabah terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum yang hidup dalam semangat perpaduan, sekali gus menjadikan usaha mencetuskan sentimen kenegerian atau perkauman sebagai langkah yang tidak bertanggungjawab.
“Sabah ada pelbagai kaum. Saya harap pemimpin luar sensitif terhadap isu-isu tertentu. Parti kita sendiri dipimpin oleh anak jati Sabah. Jadi sentimen seperti itu lebih kepada mengalihkan perhatian rakyat. Saya setuju dengan pandangan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pada program walkabout di Pasar Malam Chester, di sini semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sentimen kenegerian yang dimainkan sesetengah parti tempatan bertujuan mengalih perhatian daripada isu asas seperti infrastruktur dan penyelewengan.
Sementara itu, Elmiariezan berkata, meskipun pertama kali bertanding di Apas, beliau yakin BN mampu meraih sokongan kukuh berdasarkan peningkatan sokongan anak muda.
“Insya-Allah, sokongan anak muda kini memihak kepada kita. Ini sekaligus menjadi batu loncatan untuk kemenangan BN di kerusi Apas,” ujarnya.
Katanya, sepanjang enam hari berkempen, sambutan yang diterima amat menggalakkan, khususnya daripada golongan muda dan belia di kawasan itu.
“Alhamdulillah, banyak komen positif. Walaupun masih ada pengundi yang belum mengenali saya sepenuhnya, itu bukan masalah. Tiga tahun ini kita sudah bekerja di Apas
“Ramai juga yang sudah tahu siapa saya. Yang belum kenal, Insya-Allah saya perkenalkan diri dan saya merayu agar mereka beri peluang kepada saya,” katanya. – UTUSAN










