Hassan lihat Rafizi sebagai penyelamat PKR - Utusan Malaysia

Hassan lihat Rafizi sebagai penyelamat PKR

MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dianggap sebagai penyelamat parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ada hikmahnya apabila Mohd. Rafizi tewas dalam pemilihan Mei lalu dan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi.

Katanya, rentetan itu, Mohd. Rafizi kini aktif berpolitik dengan menyumbangkan idea-idea di Parlimen dan pelbagai platform media sosial, sekali gus membantu menghidupkan semula harapan rakyat terhadap PKR.

“Dengan wujudnya fenomena baharu di luar kerajaan tetapi Rafizi masih sebagai seorang anggota PKR yang tetap setia dengan idealisme reformis yang jujur memihak kepada rakyat jelata, bukannya golongan elit kelas berkuasa.

“Maka Rafizi dan ahli-ahli Parlimen yang sependirian dengannya berupaya menjanjikan masa depan yang cerah untuk PKR di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan berkata, rakyat mula melihat realiti bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR merupakan dua entiti berbeza.

“Kerajaan Madani mungkin timbul atau mungkin tenggelam dalam Pilihanraya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

“Tetapi dengan perkembangan terbaharu PKR dan fenomena Rafizi, maka parti mungkin akan terkesan sedikit, bersifat sementara tetapi ia boleh cepat bangkit semula dengan lebih kuat meneruskan perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata, garis pemisah antara pendirian Anwar sebagai Perdana Menteri dengan Mohd. Rafizi dan ahli-ahli Parlimen PKR di Dewan Rakyat adalah dalam soal Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART).

Katanya, perbezaan pendirian dalam soal perjanjian tersebut bukan perkara kecil kerana ia melibatkan soal dasar, kemerdekaan dan kedaulatan negara yang merupakan teras asas dalam perjuangan politik parti.

“Namun begitu, wajar diberi pujian. Kepemimpinan PKR setakat ini amat bijaksana dan berhati-hati terutama sikap Presiden,” katanya.

Tambahnya, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR setakat ini tidak memberi sebarang peringatan, teguran keras atau mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya terutama ahli-ahli Parlimen yang bersuara lantang di dalam atau luar Parlimen dengan mengkritik kerajaan secara terbuka.

“Dalam hal ini, maka saya tabik hormat kepada Perdana Menteri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN