Hakisan pantai jejas imej Cherating

Hakisan pantai jejas imej Cherating sebagai destinasi pelancongan

PENDUDUK dan pengusaha chalet di Pantai Cherating Lama di Kuantan, Pahang bimbang masalah hakisan pantai yang mula dikesan berlaku pada September 2024 makin serius terutama pada musim tengkujuh ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Masalah hakisan di Pantai Cherating Lama di sini semakin membimbangkan apabila jaraknya kini hanya kira-kira 500 meter dari kawasan chalet, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengusaha pelancongan.

Masalah hakisan yang mula dikesan sejak September tahun lalu semakin serius terutama apabila musim tengkujuh me­landa, menyebabkan ombak kuat terus menghakis garis pantai.

Pengusaha chalet Kampung Inn, Pantai Cherating Lama, Tunku Datuk Sara Eliza Tunku Ismail berkata, jika tidak ditangani segera keadaan itu boleh menjejaskan keselamatan penduduk selain mengancam sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama kawasan berkenaan.

“Sekarang hanya tinggal kira-kira 500 meter dari chalet kami. Dalam musim tengkujuh yang kini melanda negara, tidak mustahil ombak sampai ke kawasan penginapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sara Eliza berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan perlu segera melaksanakan langkah mitigasi termasuk membina benteng atau struktur perlindungan pantai. Katanya, kelewatan tindakan hanya menyebabkan kos pemulihan meningkat selain menjejaskan imej Cherating sebagai destinasi pelancongan terkenal.

“Selain chalet, beberapa kediaman penduduk kampung di Cherating Lama berada dalam lingkungan jarak berisiko, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga.

“Kami berharap isu ini tidak dipandang ringan kerana hakisan pantai bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah mengancam keselamatan pelancong yang menyewa chalet di sini,” katanya.

Sara Eliza merayu kerajaan negeri memberi perhatian segera dengan melibatkan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kuantan untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Usaha pen­cegahan komprehensif dan bersepadu penting untuk memastikan Pantai Che­rating kekal selamat dan menjadi destinasi pelancongan les­tari bagi pelawat tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×