SEPANGGAR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini dijangka menyaksikan tiada parti yang mampu menubuhkan kerajaan negeri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau membayangkan bahawa akan berlaku kerajaan campuran sekali lagi di negeri ini.
Namun begitu kata Timbalan Perdana Menteri, beliau mengharapkan kestabilan politik diberikan keutamaan dalam pembentukan kerajaan negeri nanti.
“Saya merasakan, bacaan pada 29 hari bulan nanti (Sabtu ini), kita tahu tidak akan ada satu parti pun yang dominan di Sabah. Bacaan saya, akan ada kerajaan campuran sekali lagi di Sabah.
“Namun kita mahu melihat bahawa kestabilan politik di Sabah ini diberikan keutamaan. Kita mahu Pan Borneo diselesaikan dalam tempoh lima tahun.
“Kita mahu masalah tiga serangkai diselesaikan, infrastruktur, bekalan air dan elektrik, tiga perkara ini mesti diselesaikan kerana rakyat Sabah juga layak untuk mendapat jalan, air bersih yang baik dan elektrik yang baik supaya rakyat boleh hidup dengan aman,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Kaum India Sabah di Inanam di sini hari.
Ahmad Zahid berkata, PRN Sabah kali ini menyaksikan pertembungan sehingga 14 penjuru menerusi penyertaan pelbagai parti politik.
Beliau bagaimanapun meluahkan kebimbangan sekiranya pesta demokrasi itu bertukar menjadi sebaliknya memandangkan terlalu banyak parti bertanding pada pilihan raya kali ini.
“Meskipun begitu, tidak mengapa semakin ramai yang bertanding, semakin meriah. Apa yang penting, saya merayu kepada semua pengundi di sini agar meneliti lambang saya (BN) dan memberikan kepercayaan pada hari pengundian,” katanya.-UTUSAN










