Banjir di Hat Yai, pelancong terkandas

Banjir di Hat Yai, pelancong terkandas

BANJIR melanda Hat Yai yang menyaksikan ramai pelancong Malaysia terperangkap.– Facebook Hello Hatyai Dannok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Percutian hujung minggu rakyat Malaysia bertukar mimpi ngeri apabila ribuan pelancong terperangkap susulan banjir besar yang melanda selatan Thailand, sejak kelmarin.

Di sempadan Padang Besar, ramai pengunjung berpatah balik setelah dimaklumkan paras air meningkat, manakala ratusan lagi berkongsi di media sosial bahawa mereka terkandas di hotel tanpa dapat keluar mendapatkan makanan atau bantuan.

Difahamkan, hampir 4,000 pelancong Malaysia terperangkap di sekitar Songkhla termasuk Hat Yai, walaupun sebahagian sempat bergerak pulang awal pagi. Jumlah kenderaan milik rakyat Malaysia yang ditenggelami air masih belum dikenal pasti, namun tiada korban jiwa dilaporkan.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata keadaan banjir semakin buruk dengan dianggar 800 pelancong Malaysia masih terkandas.

“Air semakin naik, malam tadi, kita ada pesan supaya pelancong bergerak pulang namun mungkin ramai menjangka keadaan tidak buruk dan memilih untuk kekal di hotel masing-masing,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Di SONGKHLA, THAILAND, Seramai lapan rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hat Yai dekat sini terkandas di beberapa buah hotel selepas pusat pelanco­ngan itu ditenggelami banjir, sejak kelmarin.

Antara lokasi terkesan akibat banjir di Hat Yai adalah kawasan sekitar Kim Yong Market, Lee Garden Plaza serta jajaran jalan utama menuju ke Central Hat Yai yang sering menjadi persinggahan pelancong dari Malaysia.

Paras air di beberapa kawasan dilaporkan mencecah sehingga lutut orang dewasa atau 0.5 meter, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan serta pergerakan kenderaan.

Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, individu terlibat menghubungi pejabat konsulat untuk bantuan dan mereka diminta untuk terus tinggal di hotel buat sementara waktu.

“Kami menghubungi pihak berkuasa tempatan supaya memberi apa juga bantuan yang perlu kepada rakyat Malaysia yang terkandas.

“Jumlah sebenar mereka yang terkandas belum diketahui. Pegawai bertugas konsulat masih menerima beberapa panggilan daripada rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Beliau meminta rakyat Malaysia yang mahu melancong ke negara ini agar menangguhkan perjalanan tersebut ekoran cuaca tidak menentu dan banjir ketika ini.

Ahmad Fahmi berkata, biasanya mulai pertengahan November hingga akhir Disember Selatan Thai akan alami hujan lebat dan banjir.

“Maklumat diterima daripada Majlis Perbandaran Hat Yai, beberapa jalan di pusat bandar telah ditutup akibat ditenggelami banjir sejak semalam,” katanya.

Sementara itu seorang rak­yat Malaysia berada di Hat Yai, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, berkata, beliau bersama ke­luarga pada awalnya merancang menginap semalam sebelum pulang semalam namun terpaksa kekal di hotel selepas air naik dengan pantas.

“Kami berada di Lee Gardens Plaza Hotel ketika air naik sehingga paras lutut. Tidak lama kemudian, pihak hotel menghubungi kami supaya mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi dan mencecah paras pinggang,” katanya.

Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna akaun Symaania merayu keada­an di Hat Yai disebarkan kepada kerajaan Malaysia supaya bantuan dapat segera disalurkan.

“Kami terputus bekalan elektrik. Hanya mengharapkan talian telefon. Mohon bantuan kerajaan Malaysia membantu kami yang terkandas. Keadaan semakin bahaya. Tiada bantuan tiba sejak tengah malam tadi,” katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, Nur Atiqah turut ber­kongsi kawasan hotel tempat dia dan keluarganya menginap kini dinaiki air.

“Hujan tak berhenti sejak kelmarin hingga hari ini. Kawasan hotel semua sudah naik air. Doakan kami sekeluarga selamat,” katanya.

Sementara itu di Bukit kayu hitam tinjauan Mingguan Malaysia mendapati jumlah kenderaan memasuki Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), menurun mendadak susulan banjir di Hat Yai.

Rata-rata pengembara ter­utama pelancong tempatan menangguhkan perancangan bercuti ke Thailand selepas me­ngetahui banyak kawasan di selatan negara itu dinaiki air.

Ketua Unit Komunikasi dan Korporat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Nur Suhaida Azmi berkata, masih ada kenderaan yang menghala ke Thailand pagi semalam, namun jumlahnya tidak banyak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN