PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam masa terdekat.
Anwar memaklumkan sedemikian ketika didekati pemberita selepas menghadiri Program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
“I will, I will (saya akan),” katanya.
Semalam, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
Ewon menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan yang dilihat mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen-dokumen asas Perlembagaan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya dalam kenyataan malam tadi. – UTUSAN










