Agihan kerusi PN dimuktamad

Agihan kerusi PN dimuktamad

ALIAKBAR GULASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) berada di peringkat akhir persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan lebih 90 peratus penyediaan struktur gerak kerja, pemilihan calon dan pembahagian kerusi telah dimuktamadkan.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, sebahagian besar strategi dan penentuan kawasan pilihan raya
telah dimuktamadkan malah ada komponen yang sudah hampir mencapai 100 peratus persediaan.

“Persiapan PN Sabah telah mencapai lebih 90 peratus. Ada kawasan yang hampir 100 peratus siap. Secara keseluruhan,
kita sudah bersedia untuk turun ke gelanggang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, PN dijangka bertanding sehingga 40 kerusi berbanding 36 kerusi yang diumumkan lebih awal pada PRN
Sabah pada 29 November ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah sebenar kerusi ditandingi semua parti
komponen PN dan senarai calon yang bakal bertanding atas tiket gabungan itu akan diumumkan pada 11 November ini.

Aliakbar yang juga Naib Pengerusi PN Sabah berkata, sentimen politik Sabah pada ketika ini turut menunjukkan trend
pengundi yang lebih menilai kredibiliti calon berbanding sentimen ‘parti Semenanjung’ atau ‘parti tempatan’.

“Dapatan pelbagai pihak termasuk penyelidik menunjukkan masyarakat Sabah kini lebih melihat kepada tokoh dan personaliti calon. Sentimen parti tempatan dan parti Semenanjung semakin berkurangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aliakbar berkata, kemelut politik yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini tidak menjejaskan kesiapsiagaan PN di Sabah.

“Setakat ini tiada apa-apa kesan. PN Sabah berjalan seperti biasa, kepimpinan kekal, persefahaman parti komponen
juga baik. Gelombang itu hanya berlaku di Semenanjung, tidak sampai ke sini,” katanya.

Mengulas kenyataan sesetengah pihak yang mahu Pas campur tangan menyelesaikan kemelut Bersatu, Aliakbar berkata,
setiap parti komponen dalam PN mempunyai ruang mengurus parti masing-masing.

“Setiap parti urus parti sendiri. Setakat ini, kemelut itu tidak menjejaskan keharmonian dalam PN Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×