KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memberikan isyarat jelas tentang hasrat pengundi untuk melihat negeri itu menentukan hala tuju politiknya sendiri.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata keputusan tersebut mencerminkan sentimen kuat dan satu mesej yang ketara bahawa rakyat Sarawak mahukan kepimpinan yang berakar daripada negeri itu sendiri.
“Apa yang berlaku, saya percaya didorong oleh kehendak rakyat Sabah.
“Sepanjang kempen, kita banyak mendengar desakan agar Sabah dipimpin oleh anak Sabah sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak, Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak dengan ARC Technologies Sdn. Bhd. di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat menambah, keputusan pilihan raya itu turut menunjukkan penolakan rakyat terhadap parti-parti politik berasaskan Semenanjung di wilayah Borneo.
“Saya rasa ia menunjukkan bahawa parti Semenanjung tidak perlu datang ke Sarawak dan Sabah.
“Kita hanya tinggal satu parti sahaja, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang semakin berkurangan di Sarawak” katanya.
Sagah menegaskan, mesej pengundi Sabah itu amat jelas namun terpulang kepada rakyat untuk menilai implikasi yang lebih luas.
“Kita nampak dengan jelas tetapi rakyat juga perlu melihatnya dengan jelas.
“Jadi, terpulang kepada rakyat untuk memahami apa yang sedang berlaku. Itulah politik,” ujarnya. – UTUSAN










