BN sokong penuh Kerajaan Negeri Sabah yang baharu

BN sokong penuh Kerajaan Negeri Sabah yang baharu

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh terhadap pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 mencerminkan kematangan rakyat dalam memilih kerajaan baharu dan BN menerima mandat itu dengan hati terbuka.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN dari seluruh negara yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.

“Sokongan BN kepada kerajaan baharu penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar, selain meneruskan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Hajiji yang juga Pe­nge­rusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat sokongan daripada 40 Ahli Dewan Undangan (ADUN) untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Pada PRN Sabah kelmarin, GRS memenangi 29 daripada 55 kerusi ditandingi.

Hajiji turut mene­rima sokongan daripada lima ADUN Bebas, tiga ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dua ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan seorang ADUN daripada Pakatan Harapan (PH).

Zambry berkata, seperti dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 29 November lalu, BN bersedia bekerjasama dan menyokong pentadbiran diterajui Hajiji.

Katanya, kerjasama itu dizahirkan bagi memastikan Sabah terus menikmati kestabilan, kemakmuran dan pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN