Pengundi Sabah pilih parti lokal mesra Kerajaan Persekutuan

Pengundi Sabah pilih parti lokal mesra Kerajaan Persekutuan

SAIFUDDIN Nasution Ismail berucap pada Program Kembali Ke Sekolah 2026 di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park, Kulim hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Rakyat Sabah memberi isyarat yang jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November lalu apabila memilih parti tempatan yang mesra dan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sentimen Sabah for Sabahan terbukti kuat pada pilihan raya itu yang memberi manfaat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Katanya, berdasarkan analisis dibuat, rakyat Sabah sebenarnya mahukan penghormatan dan pengiktirafan bahawa mereka ingin kerajaan negeri yang boleh berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya isyarat penting yang kita boleh belajar adalah kuatnya rakyat Sabah memberi keutamaan kepada parti lokal iaitu Sabah for Sabahan, sentimen ini kuat maka penerima manfaat terbesar ada dua iaitu GRS dan Warisan.

“Tapi bila kita analisis lagi data itu, kita dapati kemenangan besar berpihak GRS apabila berlaku pertembungan antara dua parti itu, bermaksud betul rakyat Sabah hantar isyarat Sabah for Sabahan tapi mesejnya parti Sabah yang kami pilih adalah yang mesra dengan Persekutuan,” katanya selepas Program Kembali ke Sekolah 2026 di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu terbukti apabila GRS dan Warisan bertembung, pengundi memilih GRS yang secara terbuka lebih mesra dengan Kerajaan Persekutuan.

Justeru ujar beliau, kemenangan GRS pada PRN itu boleh dianggap kemenangan perpaduan kerana parti lokal itu mesra kepada Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi PH, Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Pada saya, kemenangan baru ini adalah kemenangan Kerajaan Perpaduan, betul dari segi PH kita tak banyak menang tapi jauh lebih penting adalah kemenangan perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN