1MDB: Malaysia mula rundingan bersama Julius Baer

1MDB: Malaysia mula rundingan bersama Julius Baer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memulakan rundingan penyelesaian dengan Julius Baer Group Ltd bagi menamatkan saman berjumlah AS$112 juta (RM462.84 juta) yang difailkan sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap bank Switzerland itu.

Berdasarkan dokumen difailkan di mahkamah Hong Kong, SRC International (Malaysia) Ltd memulakan tindakan undang-undang terhadap bank persendirian berpusat di Zurich itu pada 2021 atas dakwaan berlaku pelanggaran amanah berhubung pengendaliannya dalam skandal tersebut.

“Rundingan penyelesaian kini sedang berlangsung,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika menjawab pertanyaan Bloomberg.

Julius Baer bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan apabila ditanya mengenai penyertaan mereka dalam rundingan berkenaan.

Sebaliknya ia merujuk kepada laporan kewangan separuh tahunan firma itu yang menegaskan mereka akan mempertahankan tuntutan tersebut sambil mengambil langkah sewajarnya melindungi kepentingan bank.

Sejak 2016, 1MDB memulakan rangkaian tindakan undang-undang terhadap beberapa institusi kewangan utama di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pada Ogos lalu, JPMorgan bersetuju menyelesaikan saman difailkan di Malaysia dengan pembayaran RM1.4 bilion (AS$339 juta) namun penyelesaian itu dilakukan tanpa pengakuan liabiliti.

Dua bulan selepas itu, Mahkamah Tinggi Singapura menolak cubaan pelikuidasi 1MDB untuk memfailkan saman terhadap Standard Chartered Plc dan BSI Bank Ltd atas alasan teknikal, berhubung urus niaga dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Menurut saman difailkan SRC International (Malaysia) Ltd, syarikat itu memperoleh dua pinjaman daripada dana pencen negara untuk pelaburan sektor tenaga demi kepentingan rakyat.

Namun di bawah pengurusan ketika itu, SRC didakwa mengarahkan Julius Baer Group Ltd membuat pembayaran palsu berjumlah kira-kira AS$112.5 juta kepada pihak ketiga.

Bank swasta berkenaan tetap melaksanakan transaksi itu antara 2013 hingga 2016, walaupun ketika itu skandal 1MDB sudah mendapat perhatian global dan terdapat petunjuk jelas yang sepatutnya menimbulkan syak wasangka terhadap pengurusan SRC, menurut dakwaan saman tersebut.

Di Malaysia pula, satu lagi saman membabitkan Deutsche Bank AG bagi menuntut ganti rugi AS$1.1 bilion (RM4.55 bilion) dijadual dibicarakan Januari depan.

Kementerian Kewangan sebelum ini melaporkan sehingga akhir Julai, sejumlah RM42.2 bilion telah disalurkan bagi membiayai hutang serta komitmen lain berkaitan 1MDB.

Kerajaan turut berjaya mendapatkan semula RM29.7 bilion dana berkaitan 1MDB dan bekas unitnya, SRC International Sdn Bhd sejak penubuhan Akaun Amanah Pemulihan Aset. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN