KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon menggantung pelaksanaan hukuman kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan keputusan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu.
Peguam bela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, permohonan itu dibuat agar tidak menjejaskan perintah tahanan rumah tersebut.
“Kedua, kalau dapat bayar (denda) belum tentu (Najib) keluar, sebab (hukuman) kes 1MDB (bermula selepas) habis (hukuman) SRC International.
“Kita minta stay (gantung) sebab akan bagi kesan, ada stay tak boleh keluar penjara tiada guna juga.
“Sebelum ini, kita tidak mohon (untung gantung hukuman) 1MDB sebab Najib sedang menjalani hukuman SRC International. Jadi kita beritahu hakim, tidak akan membuat permohonan penangguhan tetapi perkembangan berlaku, yang mungkin kita perlu buat permohonan untuk stay (penangguhan) seperti hari ini,” katanya semasa sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, di sini hari ini.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan. – UTUSAN











