Isu banjir dibawa ke Parlimen

Isu banjir dibawa ke Parlimen

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Dewan Terbuka Masjid Al -Wusta di Bukit Gantang semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Kelulusan peruntukan tebatan banjir perlu disusuli pelaksanaan segera bagi memastikan penduduk Bukit Gantang tidak terus berdepan bencana berulang ketika projek masih pada peringkat kajian.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, banjir kerap berlaku di kawasan itu menuntut perubahan kaedah kerja agensi berkaitan, khususnya dalam pengurusan sungai dan sistem saliran.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan peruntukan menangani masalah berkenaan, tetapi pelaksanaannya perlu dipercepat dan diurus lebih cekap bagi mengurangkan kesengsaraan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika banjir sentiasa berlaku, apakah tidak ada usaha yang lebih cekap mengalihkan air banjir ataupun menampung air yang turun dengan laju,” katanya ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Masjid Al-Wusta, di sini, semalam.

Katanya, perkara itu akan dibangkitkan di Parlimen dengan memberi tumpuan kepada langkah mengurus aliran air hujan dan mengurangkan risiko limpahan sungai.

Katanya, kerja mendalamkan sungai dan membersihkan parit perlu dilaksanakan dengan kaedah betul, termasuk mengurus bahan korekan supaya tidak dihanyutkan semula ke dalam saluran ketika hujan.

Sementara itu, seramai 407 mangsa daripada 147 keluarga masih berlindung di empat PPS di daerah Larut, Matang dan Selama setakat semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 407 orang setakat pagi semalam dengan semua PPS beroperasi.

SK Changkat Ibol menempatkan mangsa tertinggi, iaitu 181 orang daripada 57 keluarga dari Kampung Changkat Ibol.

Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 menempatkan 130 mangsa daripada 57 keluarga dari Kampung Batu 9, manakala 79 mangsa daripada 24 keluarga dari kawasan Matang berlindung di SK Matang Gelugor.

Seramai 17 mangsa daripada sembilan keluarga dari kawasan Trong pula ditempatkan di Dewan Perdana Trong.

PPS SK Changkat Ibol dibuka pada pukul 6 petang kelmarin, disusuli Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8. Dewan Perdana Trong dan SK Matang Gelugor mula beroperasi pada pukul 8.30 malam kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini