BUKIT MERTAJAM : Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan menghantar laporan bertulis kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pegawai kerajaan yang gagal mematuhi arahan Perdana Menteri berhubung pengedaran beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
Ketua Petugas Khas Pemantauan Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, laporan itu perlu memandangkan sehingga ke hari ini, BPT yang dijanjikan oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras khususnya seperti ‘tidak kunjung tiba’.
“Hari ini sudah masuk hari ke-11 sejak mesyuarat NACCOL (yang membincangkan isu beras tempatan) diadakan dan jaminan yang diberikan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi (dan Beras) ada 140,000 metrik tan iaitu 14 juta kampit (beras) yang sedia diedar masih tidak wujud sampai sekarang.
“Jadi, saya minta bahagian penguatkuasa untuk bertanggungjawab memastikan BPT berada di pasaran setelah 11 hari gagal membuktikan keberadaan beras tersebut. Keputusan telah dibuat oleh Perdana Menteri tapi ‘delivery sistem’ (sistem pengedaran) tidak dapat mengedar beras ke seluruh negara.
“Soalnya, di mana pergi beras tersebut? Saya minta dia (Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras) untuk menjawab soalan ini supaya rakyat tahu. rakyat resah gelisah (sekarang). Mereka datang setiap hari ke pasar raya untuk membeli beras yang dijanjikan oleh kerajaan tetapi malangnya tidak ada beras tersebut.
“Lama-kelamaan, rakyat akan marah kepada kerajaan, kepada pucuk pimpinan, tetapi, hal ini sebenarnya adalah tanggungjawab Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Abu Hussin Hafiz meluangkan masa meninjau sendiri beberapa pasar raya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan Parlimen Permatang Pauh ini untuk melihat keberadaan beras berkenaan di pasaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak ada satu pun daripada pasar raya yang dikunjunginya itu menjual BPT ketika ini.
“Malahan, tinjauan di 107 lokasi di seluruh negara juga mendapati, hanya tujuh lokasi yang menjual beras tersebut. Itu pun dalam jumlah yang sedikit. Tak sampai dua atau tiga jam sudah habis,” ujarnya.
Jelas Syed Abu Hussin Hafiz, beliau pernah cuba untuk menghubungi Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras iaitu Datuk Azman Mahmood bagi membincangkan perkara itu, namun katanya, usahanya itu tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Sekarang ini, bukan saya sahaja. Rakyat pun dah mula bertanya. Tambahan pula, nak sambut raya tak lama lagi, nak kenduri dan nak makan macam-macam. Masih tak ada jawapan (ketiadaan beras putih tempatan),” kata beliau.-UTUSAN










