PETALING JAYA: Usaha memberikan bantuan kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dizalimi rejim Zionis Israel adalah suatu tuntutan syariat Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, Rasulullah menegaskan umat Islam wajib membela dan melindungi saudaranya yang sedang mengalami penindasan atau ketidakadilan, manakala menghalang usaha meringankan penderitaan mereka adalah satu bentuk kezaliman besar di sisi Allah.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas GSF, sebuah pelayaran aman yang membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza.
“Tindakan ini adalah satu kezaliman, pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta penghinaan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fauwaz berkata, pelayaran GSF bukan sahaja membawa makanan dan ubat-ubatan yang amat diperlukan, malah sarat dengan mesej keamanan, suara hati masyarakat antarabangsa serta dorongan agar dunia segera menghentikan kekejaman di Gaza.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa, pertubuhan Islam dan badan hak asasi manusia agar bangkit menentang kezaliman Israel dan mendesak pembebasan segera kapal misi GSF tersebut serta memberi laluan selamat bagi menyampaikan bantuan.
“Semoga Allah memelihara keselamatan para pejuang kemanusiaan GSF, melapangkan segala urusan mereka, mengurniakan kekuatan dan kesabaran serta meneguhkan kita semua dalam usaha memperjuangkan hak dan maruah saudara kita di Palestin,” katanya.
Berdasarkan sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan, setakat ini.
Antara yang ditahan ialah Farah Lee dan Danish Nazram dari kapal Grande Blu; Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.
Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel. – UTUSAN










