GEORGE TOWN : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kebolehcapaian di bangunan serta premis awam milik kerajaan untuk orang kurang upaya (OKU).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP baru-baru ini mendapati, masih banyak kemudahan yang disediakan di lokasi itu seperti tandas, tanjakan serta laluan pejalan kaki yang selamat gagal memenuhi keperluan golongan tersebut.
“Situasi itu jelas menunjukkan terdapat kegagalan dalam menegakkan piawaian kebolehcapaian yang ditetapkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) Negeri Pulau Pinang 1986 yang dipinda pada 1991.
“Sebagai contoh, beberapa lokasi termasuk Bangunan Tuanku Syed Putra di Lebuh Downing dan Terminal Bas Komtar tidak mempunyai tandas mesra OKU. Malah, lif serta tanjakan yang disediakan juga terlalu sempit dan tidak selamat untuk digunakan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Mohideen, CAP turut mengenal pasti beberapa lot kedai baharu yang dibina tanpa mengambil kira ciri kebolehcapaian serta perhentian bas yang tidak dilengkapi dengan kemudahan untuk golongan OKU.
Katanya, kelemahan itu membuktikan pihak berkuasa tempatan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil 34A UKBS yang mewajibkan semua bangunan dan kemudahan awam boleh diakses serta digunakan dengan selamat oleh semua golongan masyarakat termasuk OKU.
“Tahun ini menandakan 34 tahun selepas pindaan UKBS dibuat pada 1991. Namun, pelaksanaannya masih jauh daripada sempurna,” katanya yang memberitahu, antara rungutan yang kerap diterima termasuk tandas OKU yang sering dikunci, tanjakan yang terlalu curam serta laluan sempit yang mengancam keselamatan pengguna.
Justeru katanya, CAP menggesa semua pihak yang berkenaan menguatkuasakan pematuhan Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan piawaian reka bentuk sejagat dengan segera.
“Selain itu, satu audit menyeluruh juga perlu dibuat ke atas semua bangunan awam bagi mengenal pasti kekurangan kemudahan serta memastikan tandas OKU sentiasa berfungsi dan tidak berkunci tanpa notis,” katanya.
Tambah beliau, organisasi OKU juga perlu dilibatkan secara langsung dalam proses perancangan, pemantauan serta pengawasan kemudahan awam bagi memastikan keperluan sebenar mereka diambil kira.-UTUSAN










