KUALA LUMPUR: Polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak menganjurkan perhimpunan sehingga mengganggu aliran trafik, ketenteraman awam serta perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan sepanjang tempoh persidangan itu perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan supaya tidak mengganggu acara berkenaan.
“Tidak boleh ada sebarang aktiviti yang menjejaskan acara, laluan atau ketenteraman awam. Tindakan sedemikian akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Menurut beliau, kerjasama orang ramai bersama agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan amat penting bagi memastikan kelancaran dan kejayaan sidang kemuncak berkenaan.
“Ini merupakan acara penting untuk Malaysia kerana seluruh dunia akan memerhati bagaimana kita menguruskan ASEAN.
“Sebagai agensi penguat kuasa utama bersama agensi kerajaan lain, kami akan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang tempoh sidang kemuncak ini,” katanya.
Fadil berkata, orang ramai diingatkan memberi perhatian terhadap penutupan dan lencongan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN serta mengelak menggunakan laluan terbabit bagi mengurangkan kesesakan di ibu negara.
“Kami menjangkakan cabaran trafik sepanjang acara besar ini. Jadi, kami memohon kerjasama orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, susunlah aktiviti harian dengan baik sepanjang tarikh sidang kemuncak berlangsung,” ujarnya.
Beliau berkata, kenderaan komersial perlu mematuhi jadual perjalanan terhad yang ditetapkan, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan.
Pada 18 Oktober lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, lebih 10,000 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit telah digerakkan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan penyertaan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog.
Sementara itu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di Lembah Klang ditutup secara berperingkat mulai 23 hingga 28 Oktober ini melibatkan laluan ke lokasi utama khususnya ke KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).-UTUSAN










