Sikap biadap Israel merupakan satu jenayah

Sikap biadap Israel merupakan satu jenayah

parlimen
Hamzah Zainuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap biadap dan zalim rejim Zionis terhadap konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) bukan saja satu bentuk intimidasi malah suatu penghinaan ke atas usaha kemanusiaan global.

Mengecam tindakan Israel, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan rejim Zionis di bawah pimpinan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu yang memintas dan menahan peserta konvoi GSF merupakan satu jenayah.

Katanya, ia merupakan suatu bentuk pencabulan terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa yang wajib dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia.

“Krisis Palestin ini adalah tragedi kemanusiaan terbesar zaman moden dan dunia perlu bersatu bagi menghentikan kezaliman ini dengan segera. 

“Pada masa sama, jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Palestin ini mesti diadili di bawah undang-undang antarabangsa dan dihukum pelakunya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, Perikatan Nasional sentiasa berdiri teguh bersama-sama perjuangan suci rakyat Palestin.

Justeru, pihaknya menuntut Kerajaan Malaysia bertindak lebih tegas bagi memastikan dunia Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), ASEAN serta Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bertindak tegas.

“Kami menuntut Kerajaan Malaysia bertindak lebih tegas bagi memastikan dunia Islam terutamanya OIC, PBB, EU, ASEAN serta Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) menghukum Israel bukan lagi resolusi tanpa tindakan.

“Kerajaan juga perlu memastikan kumpulan aktivis rakyat Malaysia serta aktivis antarabangsa yang terlibat dalam misi flotilla ini dilindungi dan dapat kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, tentera laut Israel menahan lebih 200 aktivis dari seluruh dunia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selepas beberapa kapal dalam konvoi tersebut dipintas dalam operasi malam tadi.

Setakat ini, lapan daripada 23 rakyat Malaysia yang mengikuti konvoi GSF disahkan sudah ditahan antaranya Farah Lee dan Zizi Kirana.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN