PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bercadang membawa pakar profesional termasuk guru, doktor, perancang bandar, jurubina dan jurutera untuk belayar menuju ke Gaza pertengahan tahun ini.
Pengasas Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, GSF 2.0 membawa pendekatan berbeza dengan memfokuskan kepada usaha pembangunan semula Gaza dengan penglibatan kepakaran profesional daripada pelbagai bidang.
Katanya, persiapan awal melibatkan aspek logistik kini sedang digerakkan termasuk mengenal pasti pelabuhan-pelabuhan yang akan menjadi lokasi pergerakan kapal serta pembelian beberapa buah kapal bagi menjayakan misi berkenaan.
“Di peringkat negara-negara yang akan terlibat, kami sedang bangunkan struktur supaya mereka boleh bertindak dengan lebih efisien dalam GSF kali ini dan banyak pendekatan baharu yang kami akan bawa, sistem lebih baik serta kaedah pemilihan lebih teratur dan kemas.
“Kali ini, kami akan memastikan misi sampai ke Gaza dengan membawa pakar-pakar bagi membangunkan semula bandar secara mampan, termasuk doktor untuk membantu proses pemulihan kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani akan terbabit secara langsung dalam misi kemanusiaan GSF 2.0 yang bakal disertai lebih 80 negara seluruh dunia.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembabitan secara langsung dalam misi itu adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
Mengulas lanjut, Muhammad Nadir berkata, Sumud Nusantara turut membuka peluang lebih luas kepada penyertaan sukarelawan baharu yang akan terlibat secara langsung dalam misi berkenaan.
Katanya, sukarelawan yang pernah terlibat dalam GSF 1.0 pula akan memainkan peranan penting bagi membantu melancarkan perjalanan misi kali ini khususnya di peringkat sokongan operasi.
“Untuk peringkat Sumud Nusantara, kami akan banyak melibatkan muka-muka baharu yang akan kita bawa menaiki kapal dan akan terlibat secara langsung dalam proses pembangunan semula Gaza.
“Mereka yang sudah terlibat di dalam GSF yang pertama akan banyak dilibatkan untuk membantu melancarkan perjalanan GSF kali ini dan akan bertindak sebagai ground team,” katanya. – UTUSAN










