KUALA LUMPUR: Sektor kewangan perlu memainkan peranan penting sebagai pemacu keterangkuman dan pertumbuhan, di mana keuntungan perlu digabungkan dengan tanggungjawab sosial.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, prinsip kemanusian perlu menjadi teras dalam setiap proses membuat keputusan.
Titah baginda, kewangan Islam di Malaysia yang wujud seiring dengan kewangan konvensional telah lama membuktikan bagaimana pasaran boleh berkhidmat kepada masyarakat.
“Kewangan Islam menghubungkan modal dengan tujuan, menggalakkan pelaburan yang produktif dan mengelak spekulasi.
“Di dalam bilik mesyuarat, para pemimpin tidak boleh semestinya bertanya mengenai pulangan pelaburan sahaja tetapi perlu bertanya mengenai pulangan kepada masyarakat.
“Kita mesti mengejar keuntungan berlandaskan sistem kewangan berasaskan nilai yang mengangkat komuniti dan berkhidmat untuk kebaikan bersama “ titah baginda sempena Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN 2025, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, kewangan Islam kini mewakili lebih 40 peratus aset sistem kewangan Malaysia dan di peringkat global, industri ini melepasi AS$5 trilion dan terus berkembang dua digit setiap tahun walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi dunia.,” titah baginda.
Baginda bertitah, walaupun terdapat kemajuan, berjuta-juta rakyat ASEAN masih terpinggir bukan kerana pilihan, tetapi akibat kemiskinan, infrastruktur lemah, dan kekurangan perkhidmatan asas.
“Hampir 200 juta orang dewasa di rantau ini masih tidak mempunyai akses perbankan, manakala liputan internet luar bandar ketinggalan sehingga 30 peratus berbanding bandar.
“Risiko ini bukan sekadar pengecualian, tetapi jurang yang melebar, mengehadkan peluang dan melemahkan perpaduan sosial,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, kepelbagaian Asia Tenggara sebagai sumber kekuatan perlu dipelihara.
“Budaya sivik yang menghargai pluralisme dan memberi ruang kepada suara baharu perlu dipupuk.
“Dalam era digital, keterangkuman bermaksud menghormati kepelbagaian sama ada luar bandar atau bandar, muda atau tua, wanita atau lelaki.
“Perbincangan hari ini mengenai kesihatan, kewangan, keusahawanan, peluang ekonomi dan kerjasama serantau boleh menjadi titik permulaan untuk bergerak daripada aspirasi kepada tindakan,” titah Sultan Nazrin.
Titah baginda, pertumbuhan dan keterangkuman adalah dua tonggak ASEAN yang dinamik dan berkekalan.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Sidang Kemuncak ini,” titah baginda. – UTUSAN










