PETALING JAYA: Beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di pusat bandar raya.
Pusat Arahan dan Kawalan Kuala Lumpur (KLC3) dalam hantaran di media sosial, berkata, penutupan jalan dilaksanakan secara berkala antara 30 hingga 45 minit.
Katanya penutupan tersebut bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi peringkat tertinggi sepanjang tempoh persidangan itu.
“Antara jalan utama yang terjejas di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.
“Selain itu, antara simpang jalan strategik yang dijangka terkesan juga termasuk Jalan Ampang-Jalan P Ramlee, Jalan Sultan Ismail-Jalan P Ramlee, Jalan Perak-Jalan P Ramlee, Jalan Perak-Jalan Pinang, Jalan Stonor-Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor-Persiaran KLCC,” katanya.
Menurut KLC3 lagi, laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke pusat bandar, serta jalan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Putrajaya dan Lebuhraya KLIA, juga akan mengalami penutupan sementara untuk memberi laluan kepada konvoi rasmi.
“Lebuh raya utama yang turut terbabit termasuk Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthrie) dan Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi ke pusat bandar),” jelasnya.
KLC3 turut menjangka kawasan segitiga emas di sekitar KLCC akan mengalami gangguan trafik yang paling ketara sepanjang sidang berlangsung.
Susulan itu, orang ramai dinasihat mengelak kawasan berkenaan dan digalak menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel dan bas. Kenderaan berat juga tidak dibenar memasuki pusat bandar ketika waktu puncak persidangan. – UTUSAN










