PETALING JAYA: Langkah proaktif termasuk risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap optimum sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, langkah itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi pasukan keselamatan negara dalam menjamin keamanan, ketenteraman awam serta melindungi maruah Malaysia di mata dunia.
“PDRM ingin menasihatkan seluruh masyarakat agar terus mematuhi undang-undang sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
“Rakyat Malaysia diseru menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mengekalkan keharmonian, ketertiban serta rasa hormat sesama masyarakat agar menjadi contoh kepada delegasi asing yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, setiap pihak perlu mematuhi undang-undang mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat tidak sahih atau perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan dab kegentaran awam,” jelasnya.
Mohd Khalid menegaskan, langkah sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya sepanjang tempoh persidangan ini, terutama di kawasan sekitar pusat persidangan, pusat bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya serta laluan utama yang terlibat dengan kawalan trafik dan penutupan sementara.
“Gunakan aplikasi navigasi selain merancang masa perjalanan lebih awal serta memberikan kerjasama penuh kepada anggota polis yang bertugas di lapangan.
Dalam pada itu, masyarakat diingatkan agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran selain segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Keprihatinan dan kepekaan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara.
“Marilah kita bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dengan semangat perpaduan, patriotisme dan kepatuhan kepada undang-undang,” katanya.
Tambahnya, PDRM turut menyeru rakyat Malaysia untuk menonjolkan imej negara yang aman, berdaulat dan matang dalam menguruskan acara besar di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh reputasi Malaysia di mata dunia.-UTUSAN










