PUTRAJAYA: Malaysia memberi jaminan keselamatan tertinggi kepada semua pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur hujung minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan telah mengarahkan semua agensi keselamatan meningkatkan tahap kawalan sepanjang sidang berkenaan bagi memastikan keselamatan pemimpin serta kelancaran acara terjamin sepenuhnya.
“Isu keselamatan menjadi keutamaan kerana semua pemimpin dunia akan berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua pemimpin dan delegasi dijamin keselamatan sepenuhnya,” katanya pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang tempatan dan antarabangsa di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai perhimpunan yang dijadual diadakan hujung minggu ini bagi membantah kehadiran Trump.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan selagi ia dilakukan secara aman serta mengikut undang-undang.
“Malaysia kekal terbuka kepada pandangan berbeza tetapi menolak sebarang bentuk tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan imej negara.
“Kalau ada yang mahu menyatakan pendirian, itu hak mereka. Tapi kita tidak boleh biarkan ada pihak yang cuba sabotaj atau mengganggu perjalanan sidang kemuncak ini,” katanya.
Difahamkan, beberapa aktivis dan kumpulan politik merancang untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara Ahad ini sebagai tanda bantahan terhadap kehadiran Presiden AS itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini, menjadi kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025 dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian.” – UTUSAN










