Fokus banteras jenayah siber, rentas sempadan di Myanmar

Fokus banteras jenayah siber, rentas sempadan di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu penipuan dalam talian dan jenayah siber rentas sempadan yang berpangkalan di  Myanmar perlu diberi fokus dan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Mohd. Yazid Zul Kepli berkata, isu tersebut telah menjadi ancaman keselamatan serantau serius yang menjejaskan komuniti ASEAN dan antarabangsa.

Katanya, perkara itu mampu membuktikan Malaysia mempunyai kepimpinan serantau dalam menangani ancaman mo­den dengan memberi tekanan terhadap pihak melindungi sin­diket terbabit. 

“Masalah ini telah berkembang menjadi ancaman keselamatan serantau yang serius. Ratusan sindiket penipuan siber di kawasan sempadan Myanmar-Thailand dan Myanmar-China bukan sahaja menjejaskan eko­nomi negara ASEAN tetapi juga melibatkan mangsa dari seluruh dunia, termasuk warga AS.

“Dengan mengemukakan isu ini, Malaysia dapat menekankan perlunya kerjasama lebih erat antara ASEAN dan AS dalam menentang jenayah siber terancang, pemerdagangan manusia, serta pengubahan wang haram yang berpunca daripada operasi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. 

Dalam pada itu, penganalisis geopolitik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, penglibatan AS diperlukan dalam memastikan Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) dan menghentikan sebarang permusuhan serta me­laksana gencatan senjata sebelum pilihan raya dijangka pada tahun ini.

“Kita perlu suarakan tentang isu jenayah kekerasan di Myanmar dikaitkan dengan junta tentera.

“Maka, tekanan perlu diberikan dengan penglibatan AS. Sebab kematian yang besar sebenarnya berlaku terhadap masyarakat di Myanmar termasuk Rohingya. Apatah lagi  kita (ASEAN) ada satu konsensus agar tiada campur tangan dalam urusan negara anggota lain,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN