KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan sehingga mengganggu aliran trafik, ketenteraman awam serta perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan, mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan sepanjang tempoh persidangan itu perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“Saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan supaya tidak mengganggu acara berkenaan.
“Tidak boleh ada sebarang aktiviti yang menjejaskan acara, laluan atau ketenteraman awam. Tindakan sedemikian akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama orang ramai bersama agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan amat penting bagi memastikan kelancaran dan kejayaan sidang kemuncak berkenaan.
“Ini merupakan acara penting untuk Malaysia kerana seluruh dunia akan memerhati bagaimana kita menguruskan ASEAN.
“Sebagai agensi penguat kuasa utama bersama agensi kerajaan lain, kami akan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang tempoh sidang kemuncak ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian terhadap penutupan dan lencongan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN serta mengelak menggunakan laluan terbabit bagi mengurangkan kesesakan di ibu negara.
“Kami menjangkakan cabaran trafik sepanjang acara besar ini. Jadi, kami memohon kerjasama orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, susunlah aktiviti harian dengan baik sepanjang tarikh sidang kemuncak berlangsung,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kenderaan komersial perlu mematuhi jadual perjalanan terhad yang ditetapkan, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan.
Pada 18 Oktober lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, lebih 10,000 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Cawangan Khas serta Unit Tindakan Khas (UTK) telah digerakkan di bawah Op ASEAN 47 menjelang sidang kemuncak tersebut.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan penyertaan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog dan tetamu termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
Sementara itu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat mulai 23 hingga 28 Oktober ini, melibatkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke KLCC, Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN










